sang kancil dengan monyet

Pada suatu pagi, Sang Kancil pergi mencari makanan. Sang Kancil ternampak sebatang pokok jambu. Sang Kancil terliur hendak makan buah jambu. Di atas pokok jambu itu, tinggal seekor monyet. Sang Kancil lalu meminta pada Sang Monyet, "Wahai Sang Monyet, berikanlah aku sebiji jambu!" Tetapi Sang Monyet enggan memberikan buah jambu kepada Sang Kancil. "Kalau engkau mahu makan, engkau panjatlah sendiri," Sang Monyet berkata dengan sombong. Sang Kancil mendapat suatu akal. Sang Kancil membaling monyet itu dengan sebatang kayu kecil. Apalagi! Marahlah Sang Monyet. Sang Monyet memetik beberapa biji jambu. Sang Monyet segera membaling jambu itu ke arah Sang Kancil. Namun, Sang Kancil pandai mengelak. "Ha! Ha! Ha!" Sang Kancil ketawa. Sang Kancil sangat gembira. "Engkau kena tipu," kata Sang Kancil kepada Sang Monyet. Sang Monyet terdiam apabila mendengar Sang Kancil berkata begitu."Sekarang aku dapat makan buah jambu," ujar Sang Kancil. Sang Kancil segera makan buah jambu itu. "Pandai sungguh Sang Kancil memperdayakan aku," kata Sang Monyet di dalam hatinya. Sang Monyet berasa malu

burung layang-layang

Dalam sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung layang-layang yang suka meniru. Pada suatu petang, burung layang-layang telah mendengar suara teriakan daripada burung-burung yang lain. "Ke tepi! Ke tepi! beri laluan kepada raja Burung. " Burung layang-layang berasa hairan mendengar teriakan tersebut. Tidak lama kemudian, beberapa ekor burung merak melalui kawasan itu. Burung layang-layang terpegun melihat kecantikan bururng merak. Maka, timbullah perasaan pada burung layang-layang yang ingin menjadi seperti burung merak. burung layang-layang menoleh ke kiri dan ke kanan lalu melihat beberapa helai bulu burung merak tercicir di atas tanah. Apabila kumpulan burung merak telah berlalu, burung layang-layang mengutip semua bulu merak yang tercicir di atas tanah dan menyisipkan ke badannya. Apabila selesai, burung layang-layang berjalan di atas laluan burung merak tadi.Burung-burung lain yang melihatnya berteriak," Ke tepi! Ke tepi! Berikan laluan kepada Raja Burung." Burung layang-layang berasa sangat seronok dan berjalan lebih pantas sehingga terlupa tentang bulu-bulu burung merak yang disisipkan di badannya. Lalu, satu demi satu bulu burung merak tertanggal dan tercicir di atas tanah. Burung-burung lain yang menyaksikan kejadian tersebut ketawa berdekah-dekah sambil berteriak, " Rupa-rupanya burung layang-layang menyamar menjadi Raja Burung." Burung layang-layang berlalu dari situ sambil menundukkan kepalanya kerana berasa sangat malu. Semasa berjalan dengan kepala bertunduk, burung layang-layang telah terlanggar burung merak. Apabila burung layang-layang mendongak, dia mendapati burung merak sedang berdiri di hadapannya dengan muka yang bengis. Burung merak berkata, " kami tidak suka kepada burung yang cuba menyamar menjadi burung yang lain. Pergi dari sini!" Burung layang-layang segera terbang meninggalkan kawasan tersebut. Semasa terbang, burung layang-layang ternampak sekumpulan burung seakan-akan serupa dengan dirinya. Burung layang-layang mendekati burung dalam kumpulan tersebut. Seekor burung dalam kumpulan itu bertanya, "Anda ahli baru dalam kumpulan inikah?" Burung layang-layang pun menjawab, "Ya, saya ahli baru dalam kumpulan ini." Burung layang-layang berasa sangat gembira kerana telah mendapat sahabat baru.

kong zhi meminta tunjuk ajar budak kecil

Kong Zhi merupakan seorang sasterawan dan tokoh pemikir yang terkenal pada zaman dahulu. Pada suatu hari, Kong Zhi dan anak muridnya pergi ke suatu tempay dengan menaiki kereta kuda. Dalam perjalanan, mereka bertembung dengan seorang budak yang berumur enam tahun. Budak itu sedang bermain di tengah jalan. Anak muriod Kong Zhi yang melihat keadaan ini mengarahkan budak itu supaya ke tepi. Budak kecil itu menjawab, " Di sini ada sebuah kota, elok tuan cari jalan lain untuk lalu dari sini." Anak murid Kong Zhi nampak ada sebuah kota batu yang telah dibina di atas tanah. Anak murid Kong Zhi berasa lucu dan berkata, " Budak nakal, cepat beri laluan! " Budak kecil itu berkeras untuk tidak beralih. Dia berkata, "Boleh, dengan syarat tuan dapat menyatakan kebenaran. Adakah kota saya perlu elakkan kereta tuan, atau tuan yang perlu elakkan kota saya? Sejak dahulu lagi, keretalah yang berjalan mengelilingi kota, mana ada kota yang beri laluan kepada kereta!" Kong Zhi yang tertarik dengan percakapan budak itu turun dari kereta kuda dan berkata, "Kata-kata kamu memang benar, tetapi kami kesempitan masa. Bolehkah kamu berikan kami laluan?" Budak kecil itu pula berkata lagi," Saya dengar tuan seorang yang berpengetahuan luas. Kalau tuan dapat menjawab soalan saya, saya akan beri laluan kepada tuan." Kong Zhi bersetuju dengan cadangan itu. Budak kecil itu menunjukkan ke arah langit dan bertanya,: Kita boleh nampak bintang di langit. Berapa banyakkah bintang di langit?" Kong Zhi menjawab, " Tetapi bintang di langit terlalu banyak. Bagaimanakah boleh kita mengiranya?" Budak kecil itu berkata lagi, " Bintang di langit banyak. Matahari pula satu sahaja. Pada waktu pagi, matahari menjadi besar, tetapi kecil semasa tengah hari. bolehkah tuan memberitahu saya, bilakah matahari paling dekat dan paling jauh dari kita?" Kong Zhi terkejut mendengar soalan nudak kecil itu. Beliau berfikir sejenak. Kemudian beliau berkata, " Saya sangat menyesal. Walaupun saya berpengetahuan, tetapi masih tidak cukup. Silalah beri tunjuk ajar kepada saya." Budak kecil itu melihat Kong Zhi begitu bersopan, lalu dia pun memberikan laluan kepada mereka. Sejak peristiwa itu, Kong Zhi mengajar muridnya supaya mengaku jika tahu dan jangan berpura-pura tahu jika tidak tahu. Kita sepatutnya meminta tunjuk ajar daripada sesiapa sahaja yang berpengetahuan kerana ilmu tiada batasnya

ahli sihir yang angkuh

Thenaliraman tinggal di sebuah pekan di India. Pada suatu hari, datang seorang ahli sihir termasyhur di pekan itu lalu mencabar penduduk di pekan itu. " Wahai penduduk kampung, saya seorang ahli sihir terkemuka di India. Adakah sesiapa antara anda yang berani mencabar saya? Saya boleh melakukan atau menunaikan apa-apa sahaja yang anda pohon." Thenaliraman pun tampil ke hadapan dan berkata, " Wahai Tukang Sihir, saya ingin mencabar anda. Bolehkah Tukang Sihir menunaikan permintaan saya?" "Boleh, mintalah apa-apa sahaja , akan saya kabulkan permintaan anda," kata Tukang Sihir. "Baiklah Tukang Sihir, saya akan melakukan sesuatu dengan mata saya tertutup, tetapi Tukang Sihir melakukannya dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman. " Ha! Ha! Ha! Mudahnya permintaan anda," kata Tukang Sihir. Thenaliraman pun duduk bersila dan menutup matanya. Dengan menggunakan tangan kanannya, dia mengambil segenggam pasir dan melemparkan ke arah matanya. " Baiklah Tukang Sihir, sekarang tunjukkanlah kehandalan Tukang Sihire dengan melakukan seperti yang saya lakukan tadi dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman. Tukang Sihir itu terdiam, Dia tahu bahawa dia tidak boleh melakukan seperti yang diminta. Tukang Sihir itu sedar akan kesalahannya yang terlalu bersikap angkuh. Dia meminta maaf kepada Thenaliraman dan terus meninggalkan pekan itu

kura-kura yang pintar

Pada zaman dahulu, di Pulau Borneo tinggal seekor kura-kura bujang yang yatim piatu. Dia berkawan dengan seekor kera yang nakal dan tidak bertimbang rasa. Apabila Si Kera tersebut mati, Si Kura-kura mengambil seruas tulang kera itu dan meminta Dewa Bubuk membuat seruling untuknya. Si Kura-kura menjadikan seruling mainannya. Seruling itu dibawanya ke mana-mana sahaja dan ditiup semasa dia kesepian. Kemerduan tiupan seruling Si Kura-kura itu telah sampai ke pendengaran Raja Ungka. Raja Ungka berkeinginan untuk memiliki seruling itu. Dia melakukan pelbagai cara untuk memperdayakan Si Kura-kura. Setelah berjaya memperdayakan Si Kura-kura, Raja Ungka dapat merampas seruling tersebut dan terus membawa seruling itu naik ke mahligainya , iaitu di kemuncak pokok Tapang Udang. Bagi Si Kura-kura. perbuatan Raja Ungka itu amat melampau. Dia sedaya upaya berusaha untuk merampas kembali seruling kesayangannya itu. Si Kura-kura mendapatkan pertolongan daripada Ketam Gergasi. Dalam usaha merampas seruling tersebut, Raja Ungka mengalami kecederaan yang parah kerana disepit oleh Si Ketam Gergasi. Raja Ungka yang parah telah menggunakan perkhidmatan beberapa orang bomoh untuk merawatnya. Akhirnya , kecederaan itu membawa maut kepada Raja Ungka. Itulah akibatnya yang diterima oleh Raja Ungka disebabkan sifat tamak haloba

NAKHODA TANGGANG

Si Talang dan isterinya Si Daruma tinggal di sebuah kampung yang terpencil. Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Si Tanggang suka berburu dan mendayung sampan. Pada suatu hari, dia mendayung sampan menyusuri sungai sehingga sampai ke muara. Di muara sungai , terdapat sebuah kapal sedang berlabuh. Nakhoda kapal itu tertarik hati apabila melihat kecekapan Si Tanggang mendayung sampan lalu mengarahkan orang suruhannya menangkap Si Tanggang. Akhirnya, Si Tanggang ditangkap dan telah dibawa belayar. Semasa dalam pelayaran, Si Tanggang melakukan semua kerja di atas kapal itu. Kerajinannya telah menambat hati nakhoda lalu mengambilnya sebagai anak angkat. Akhirnya, nakhoda telah mengahwinkan Si Tanggang dengang anaknya. Kemudian Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda yang baru dan digelar Nakhoda Tanggang. Pada suatu petang, setelah jauh belayar, Nakhoda Tanggang telah mengarahkan anak kapalnya berlabuh di muara sungai. Kebetulan pula tempat kapal berlabuh ialah kampung asal Nakhoda Tanggang. Beberapa orang penduduk kampung ternampak Nakhoda Tanggang lalu memberitahu ibunya. Ibunya segera datang untuk menemui Nakhoda Tanggang kerana dia terlalu merindui anaknya itu. Namun begitu, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa perempuan tua itu ibunya. ini kerana keadaan ibunya yang miskin dan uzur. Nakhoda Tanggang telah menghalau ibunya. Ibunya, Si Deruma berasa sangat sedih dan pilu kerana Si Tanggang anak yang dilahirkan dan disusuinya telah melukakan hatinya. Dia memandang ke langit sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dan berseru,"Oh,Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungannya." Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup dengan kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing dipukul ribut. Keadaan pada masa itu sungguh cemas. Ketika itu barulah Nakhoda Tanggang berasa sangat kesal. Dia insaf bahawa Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. " Oh ,Ibu! Ampunkanlah anakanda ....," teriak Nakhoda Tanggang, tetapi sudah terlambat. Gelombang yang kuat telah memecahkan kapalnya. Setelah ribut reda, kapal yang pecah dan anak-anak kapal termasuk Si Tanggang telah bertukar menjadi batu. Itulah balasan kepada anak yang derhaka

bunga cengking

Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap kerana mulut mereka tetap berbau busuk. “Apakah wabak yang menyerang negeri ini?” tanya raja. Apabila raja dihadap oleh pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu. Mereka takut hendak bercakap kerana mulut mereka berbau busuk. Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya berbau busuk. Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan tuan puteri. Puteri raja tetap membisu. Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di dahan tempat ia berpijak. Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula. Sejak hari itu, puteri raja seorang sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap. Raja pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun diceritakan oleh puteri baginda. Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok itu. Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang. Semua rakyat terlalu gembira. Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi. Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih. Pengajaran : 1. Jangan takut mencuba perkara baru. 2. Fikir selalu keajaiban ciptaan tuhan.

beruk tunggal

Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu. Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani. Perempuan itu sangat inginkan seorang anak. Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal. Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak raja kayangan. “Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja Tikus. “Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal. “Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus. “Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal. Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok Beruk Tunggal. Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya. “Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal. Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan miskin itu tidak berdaya menyediakannya. Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan. Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana. Dia meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal. Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana. Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak. “Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda,” kata putera Raja Kayangan. Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah. Pengajaran : 1. Jangan mencuri hak orang lain. 2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.